SEREMBAN 10 Jan. - Seramai 14 wanita warga Vietnam yang didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dicekup dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Taman AST di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri menyerbu premis berkenaan pada pukul 9 malam.
"Kesemua wanita berusia antara 23 hingga 47 tahun ditahan ketika sedang melayan pelanggan.
"Hasil pemeriksaan, semua wanita Vietnam itu didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja secara haram di sini," katanya di sini hari ini.
Menurut Hamdan, dalam serbuan tersebut, polis turut menahan lapan lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an, dipercayai pelanggan untuk tujuan soal siasat.
"Polis turut menahan seorang perempuan dan dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang disyaki menjadi penjaga premis tersebut," ujarnya.
Kata beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
0 comments:
Post a Comment