KUALA LUMPUR 27 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengiktiraf corak kepimpinan serta kemampuan Malaysia dalam menangani isu-isu antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dinyatakan melalui perbualan telefon dengan Presiden AS itu malam tadi.
Pada masa yang sama juga kata Najib, Obama turut meminta Malaysia terus memberikan sumbangan dalam menangani isu-isu berkenaan.Katanya, selain peringkat antarabangsa Obama turut menghargai peranan Malaysia di peringkat rantau ASEAN.
''Pada umumnya Presiden Obama menghargai sumbangan dan juga kepimpinan Malaysia dalam beberapa isu di peringkat rantau ini dan antarabangsa umpamanya dalam hasrat beliau menyusun semula kerangka kewangan global.
''Beliau memberitahu saya, Malaysia boleh menyumbang buah fikiran dan kepimpinannya dalam perkara ini. Begitu juga konteks penyelesaian masalah di Korea Utara dan juga hubungan dengan negara Iran. Obama merasakan Malaysia mampu untuk memberi sumbangan,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sekolah Mubaligh di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John di sini hari ini.
Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai inti perbualan telefonnya dengan Obama selain isu membabitkan dua tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo.
Kedua-dua pemimpin itu berbual kira-kira 20 minit dan ia merupakan perbualan melalui telefon pertama antara Najib dan Obama sejak kedua-dua pemimpin itu memegang tampuk pemerintahan negara masing-masing.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Ng Moon Hing.
Dalam perkembangan sama, Najib berkata, Malaysia sentiasa komited untuk terbabit sebagai salah sebuah negara yang memberi sumbangan bagi mengatasi masalah-masalah di peringkat antarabangsa,
''Apabila membicarakan isu-isu antarabangsa kita sememangnya telah memainkan peranan yang sewajarnya. Sebagai contoh isu Korea Utara. Kita telah memberi pandangan melalui ASEAN.
''Malaysia juga turut berperanan dalam menangani Isu-isu yang melibatkan Asia Barat,'' kata beliau.
Oleh itu, kata Najib, beliau menyifatkan perbualan yang agak lama antaranya dan Presiden Obama merupakan satu manifestasi bahawa Presiden AS itu amat menghargai peranan dan sumbangan Malaysia.
Ketika ditanya sama ada perbualan telefon dengan Presiden AS itu turut menyentuh isu penyeludupan manusia, Najib berkata, perkara berkenaan tidak dibincangkan.
0 comments:
Post a Comment