
Govinden (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu seberat enam kilogram bernilai RM1.5 juta yang disorok dalam makanan oleh seorang wanita warga Iran pada sidang media di Sepang, semalam.
SEPANG 10 Jan. - Sindiket penyeludupan dadah sekali lagi dikesan menggunakan taktik baru untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan menambah pewarna dan perisa tiruan ke atas dadah jenis syabu yang dibawa masuk ke negara ini.
Terbaru, seorang wanita warga emas berumur 57 tahun dari Iran ditahan pada Sabtu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana menyorok dadah berwarna jingga dan berbau seperti mangga dalam pek serbuk minuman di dalam bagasinya.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Datuk M. Govinden berkata, selain pek serbuk minuman, syabu berjumlah enam kilogram bernilai RM1.5 juta juga disorok dalam peket kecil kopi cappucino, pek makanan, bungkusan krimer, pek tisu lembap dan berkas bedak talkum.
''Penyeludup telah menukar warna syabu tersebut kepada warna jingga dan coklat, ia nampak dan berbau seperti serbuk minuman berperisa mangga dan krimer coklat.
''Selain itu mereka turut menyorok pek syabu dalam bekas bedak talkum bagi mengaburi mata penguat kuasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Govinden berkata, beliau tidak menafi kemungkinan wanita Iran tersebut merupakan keldai dadah tetap kerana pernah melawat Malaysia sebanyak 11 kali sejak 2010 dan yang terbaru pada 1 Januari lalu.
''Ketika ditahan, wanita ini membawa dua bagasi dengan sebuah daripadanya diisi pakaian manakala bagasi kedua digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis bungkusan makanan yang menyorok dadah.
''Bagasi wanita itu menimbulkan kecurigaan pegawai penguat kuasa yang seterusnya memeriksa secara teliti setiap pek makanan dan minuman serta bekas bedak talkum yang dibawanya," katanya.
Tambahnya, penahanan wanita Iran tersebut merupakan tangkapan kedua di KLIA pada tahun ini selepas tiga keldai dadah yang tiba dari Turki ditahan pada 1 Januari lalu kerana membawa masuk syabu seberat 10.2 kilogram.
0 comments:
Post a Comment