Ads 468x60px

Pages

Dasar Pembangunan Nasional

Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:


(i) Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan
Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan;

(ii) Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa
DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;

(iii) Wawasan 2020
Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan

(iv) Pembasmian Kemiskinan
Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam.

Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.
Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut:
- pendidikan dan
- latihan
- kesihatan
- jalan-jalan luar bandar
- pengangkutan
- perumahan
- bekalan air dan elektrik

Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.

Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

(v) Penyusunan Semula Masyarakat 
Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan. 


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...