Ads 468x60px

Pages

Pulihara Ekosistem Marin Atasi Ancaman Kepupusan

Usaha pemuliharaan kerang gergasi yang sedang dijalankan oleh Pusat Kajian Marin Ekologi (MERC) Gayana Eco Resort, Sabah  (seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas) perlu disambut baik oleh semua lapisan masyarakat agar kesinambungan ekosistem marin terus terpelihara.

Usaha tersebut yang merangkumi program penyemaian terumbu karang, penanaman bakau serta pembiakan rumpai laut dan kerang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kepupusan yang melanda kerang gergasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia merupakan satu pendekatan yang wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain agar usaha tersebut lebih menyeluruh dalam mengatasi masalah kepupusan hidupan marin.

Laporan mengenai kepupusan kerang gergasi yang dikeluarkan oleh Buku Data Merah Persekutuan Pemuliharaan Antarabangsa (IUCN) pada tahun 2000 pastinya memberi gambaran yang jelas bahawa ekosistem marin kita masih tiada pembelaan dan kian tenat dari sehari ke sehari.

Pertambahan satu lagi spesies marin yang diancam kepupusan pastinya bisa menggusarkan hati para pencinta alam. Apatah lagi jika faktor kepupusan spesies marin tersebut dikaitkan dengan aktiviti penjualan kerang secara berleluasa sebagai bekalan bagi makanan laut.

Selain itu, spesies hidupan laut tersebut juga dikatakan semakin menyusut dari dasar laut dek kerana perubahan iklim global, pencemaran laut dan aktiviti-aktiviti lain manusia yang menyumbang kepada kemusnahan habitat spesies itu. Situasi tersebut tidak harus dibiarkan berlanjutan tanpa adanya langkah proaktif untuk memulihara kelangsungan hidup spesies-spesies berkenaan.

Sebaliknya ia memerlukan perhatian yang serius daripada pihak berwajib agar masalah tersebut dapat diatasi dengan sewajarnya.Jika diimbas kembali permasalahan yang melanda ekosistem marin . ia bukanlah satu isu baru. Malah saban hari kita menyaksikan satu persatu spesies marin diancam kepupusan. Belum pun reda isu kepupusan penyu dan lenyapnya spesies dugong diperkatakan, timbul pula isu kepupusan kerang gergasi.

Jika diamati dan direnung sedalam-dalamnya, kepupusan spesies-spesies tersebut kesemuanya berkisarkan permasalahan yang sama yakni berakar umbi dari segi sikap. Persoalan sikap ini pula merupakan persoalan pokok yang tidak pernah terungkai sejak sekian lama.

Sedangkan kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kepupusan spesies yang pernah berlaku sebelum ini umpamanya kepupusan dinosaur yang hanya menyaksikan kita mengenalinya melalui buku sahaja.

Seruan bersyukur dalam konteks ini membawa pelbagai pengertian termasuklah menyeru  agar manusia menggunakan segala nikmat yang ada di atas muka bumi ini dengan sebaik mungkin dan tidak sekali-kali membiarkan berlakunya kerosakan ke atas nikmat yang telah dikurniakan.

Justeru, setiap aktiviti penuaian yang dilakukan ke atas khazanah alam perlulah disusuli dengan langkah pemuliharaan yang sewajarnya agar sumber yang sedia ada tidak kehabisan dan sentiasa bercambah demi memastikan ia terus berkesinambungan untuk turut digunakan oleh generasi yang seterusnya.

Selain berhemah di dalam aspek penuaian sumber, kita juga diseru agar sentiasa menjaga keharmonian alam supaya segala komponen yang ada di dalamnya terus terpelihara. Oleh itu, selagi masih ada ruang untuk kita sedar dan berubah, maka rebutlah peluang dan kesempatan yang ada untuk kita hargai setiap apa yang telah kita perolehi daripada kemurahan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya kepada kita.

Jika sebelum ini kita memandang enteng terhadap aspek penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar, masih belum terlewat untuk kita perbaiki segala kepincangan yang pernah kita lakukan demi memastikan nasib ekosistem marin dan alam sekitar kita tidak terus diselubungi kesuraman.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...